Pengenalan/Definisi Masyarakat Feudal
·
masyarakat yang tinggal dalam sesuatu komuniti dan
terikat dengan aturan yang ditetapkan oleh kerajaan atau pemerintah ke atas
golongan diperintah/bawahan. Kedua-dua golongan ini hidup mengikut susun lapis
yang ditetapkan berdasarkan keturunan dan hubungan di antara keduanya
berasaskan saling memerlukan antara satu sama lain.
·
masyarakat feudal di England memperlihatkan raja
mempunyai kuasa mutlak dan berada pada kedudukan teratas, diikuti oleh count
(bangsawan), lord (tuan tanah), manor dan serf (petani)
·
manakala masyarakat feudal di Jepun meletakkan maharaja
pada kedudukan tertinggi dan mempunyai kuasa yang tidak terbatas ke atas segala
aspek dalam pemerintahan termasuklah tanah. Namun demikian, maharaja telah
mewakilkan kuasa baginda kepada keluarga syogun dan dibantu oleh daimyo serta
samurai.
Ciri-ciri Masyarakat Feudal di England
1. Setiap serf (rakyat bawahan biasanya petani) memberi sumpah
kesetiaan kepada golongan yang lebih tinggi daripada mereka. Golongan yang lebih tinggi ini ialah knight
(pahlawan), bangsawan (baron, duke , lord) dan akhir sekali
ialah Raja.
2. Golongan bangsawan mempunyai hubungan secara langsung dengan Raja. Punca
kekayaan golongan ini ialah tanah yang dianugerahkan oleh Raja.
3. Hubungan bertimbal balas (vassalage) yang dibuat melalui persetiaan
seseorang hulubalang sebagai pengikut (vassal) kepada seseorang
hulubalang lain yang diangkat sebagai tuan (lord) kepada vassal
tersebut.
4. Harta feudal (fief), kebiasaannya berupa tanah yang menjadi punca
kekayaan kepada tuan tanah iaitu raja dan golongan bangsawan. Tanah dikurniakan
oleh raja kepada seseorang lord kemudian lord pula akan memberikan tanah kepada
vassalnya bertujuan untuk mengikat persetiaan.
5. Dalam aspek ketenteraan, wujud kelas-kelas hulubalang dan perlaksanaan
khidmat-khidmat ketenteraan persendirian oleh vassal kepada lord sebagai
penerimaan fief.
6. Kuasa pemerintahan dan hak-hak perundangan persendirian yang dimiliki dan
dilaksanakan oleh lord terhadap vassalnya serta ke atas rakyat yang berada di
atas tanah-tanah kepunyaan lord. Selain menguasai tanah, seseorang lord juga
turut berkuasa ke atas sumber ekonomi, pentadbiran, pelaksanaan
undang-undang, mengutip cukai, mengawal institusi ketenteraan dan
institusi kewangannya.
Susun lapis masyarakat feudal di England
1. Masyarakat di England atau Eropah terbahagi kepada dua golongan iaitu
pemimpin dan yang dipimpin. Golongan pemimpin terdiri daripada raja dan
bangsawan. Susunan masyarakat feudalnya berbentuk piramid iaitu raja atau
pemimpin utama terletak di lapisan paling tinggi. Di bawahnya terdapat
beberapa lapisan para bangsawan yang menjadi pengikut raja atau vassal yang
memberi kesetiaan kepada raja. Golongan bangsawan ini terbahagi kepada dua
iaitu lapisan pertama dan kedua.
2. Golongan Bangsawan lapisan pertama yang memiliki tanah (fief) secara langsung daripada raja dikenali sebagai tenants-in-chief.
Bangsawan lapisan pertama pula membahagikan fief mereka kepada bangsawan
lapisan kedua. Proses ini dikenali sebagai subinfeudation . Bangsawan
lapisan ke dua seterusnya membahagikan fief mereka kepada bangsawan yang
lebih rendah daripadanya atau golongan petani. Setiap bangsawan (Vassal)
berkuasa ke atas petani yang menentap difiefnya. Hampir kesemua petani terdiri
daripada serf yang bertaraf antara orang bebas dengan hamba.
3. Golongan yang dipimpin pula merupakan golongan rakyat biasa yang menetap
di wilayah kekuasaan golongan bangsawan. Rakyat biasa ini dikenali sebagai serf
iaitu golongan bukan hamba tetapi tidak bebas sepenuhnya. Mereka terikat
kepada pemimpin atau tuan mereka dan tidak bebas bergerak atau berpindah dari
satu tempat ke tempat lain.Mereka bergantung kepada golongan bangsawan untuk
mendapatkan mata pencarian. Terdapat juga petani bebas yang menyewa tanah
daripada golongan bangsawan.
4. Selain itu terdapat golongan paderi yang merupakan satu kelas yang
berasingan. Sebilangan besar daripada mereka terdiri daripada daripada
golongan bangsawan yang mempunyai tanah sebagai Vassal dalam sistem
feudal. .Menurut Ferguson dan Brunn, pada abad ke-12 dan ke-13,
hampir 1/3 daripada tanah yang boleh digunakan di Eropah
barat di kawal oleh greja. Bishop, abot dan
pegawai-pegawai yang memegang jawatan penting dalam gereja biasanya adalah
golongan bangsawan.Justeru itu mereka sering campur tangan dalam pemilihan
jawatan bishop dan jawatan-jawatan lain untuk salah seorang dari ahli keluarga
mereka. Akibatnya pegawai-pegawai gereja terdiri daripada golongan yang
mementingkan meterial dan mempunyai dua tanggungjawab
Ciri-ciri Masyarakat Feudal di Jepun
1. Sistem feudal juga dapat dilihat dengan jelas di Jepun,
iaitu maharaja yang berada di kemuncak struktur pemerintahan mempunyai
kuasa yang tidak terhad ke atas segala aspek di bawah
pemerintahannya termasuklah tanah. Hakikat ini dapat dilihat
pada zaman Kamakura antara abad ke-12 dan 14, di mana
keluarga Minamoto menjadi keluarga yang penting di Jepun.
Keluarga ini mampu membekalkan keperluan keselamatan
yang diperlukan oleh maharaja dan mereka turut menguasai tanah dan
segala penghasilannya.
2. Sebagai ketua kepada keluarga Minamoto, Yoritomo misalnya
telah melantik mereka yang setia kepadanya mewarisi jawatan jito atau
pengurus tanah dan bertanggungjawab mengutip cukai. Shugo merupakan
pegawai yang bertanggungjawab memastikan agar semua cukai di bayar
walaupun kekerasan terpaksa digunakan. Sistem sebegini terus kekal sehingga
zaman Meiji apabila beberapa perubahan besar dilakukan.
3. Menurut Abdullah Zakaria Ghazali, dalam usaha
melihat sejarah sistem Feudal di Jepun, maka zaman Kamakura tidak harus
ditinggalkan kerana zaman ini merupakan akar kepada keberlangsungan sistem
feudal yang hanya tamat pada pertengahan abad ke-19. Menurutnya lagi,
sistem feudal tumbuh subur di Jepun kerana kewujudan estate persendirian yang
dikenali sebagai syo atau syoen. Pertumbuhan estet-estet persendirian
ini telah dipercepatkan oleh kemerosotan golongan aristokrat dan kebangkitan
golongan perwira (buke).Golongan ini memberi taat setia kepada Kamakura
dan hasil daripada ketaatsetiaan ini menyebabkan mereka
mendominasi jawatan jito serta shugo. Gabungan organisasi inilah
yang menjadi asas kepada kemunculan sistem feudal di Jepun.
4. Sehubungan itu kita dapat melihat sistem feudal di
Jepun telah melahirkan dua golongan yang saling bergantung antara satu
sama lain, iaitu golongan birokrasi pemerintahan dan golongan tentera. Golongan
birokrasi pemerintahan termasuklah tuan-tuan tanah atau
daimyo yang bertanggungjawab menyumbangkan sebahagian daripada hasil
tanah kepada maharaja.
5. Selain itu perjalanan sistem feudal di Jepun agak unik
dan berbeza dengan negara lain. Ini disebabkan wujud keterikatan yang kuat
antara golongan daimyo dengan tentera dan petani , manakala maharaja tidak
mempunyai sebarang peranan. Kemunculan golongan tentera khusus
(profesional) di Jepun begitu berpengaruh dalam menentukan hala tuju
pemerintahan. Golongan daimyo merupakan kelompok yang
sangat berkuasa di Jepun dan kuasanya dikatakan mengalahkan kuasa maharaja.
6. Golongan tentera mempunyai kebolehan yang
besar dalam peperangan dan digunakan oleh golongan bangsawan sama ada untuk
mempertahankan hak milik mereka atau menjaga
keselamatan tuan-tuan mereka. Kekuatan
ketenteraan ini menjadi tulang belakang kepada kebangkitan daimyo di
Jepun sehingga maharaja tidak berfungsi sebagaimana sepatutnya.
Susun lapis masyarakat feudal di Jepun
1. Struktur sistem feudal di Jepun berbentuk piramid yang terdiri daripada
golongan pemerintah dan golongan diperintah. Golongan pemerintah adalah
Maharaja, Shogun, Daimyo dan Samurai. Golongan diperintah terdiri
daripada petani, tukang dan saudagar. Sistem ini dapat dilihat
dengan jelas semasa pemerintahan Shogun Tokugawa.
2. Dalam hierarki pemerintahan di Jepun Maharaja menduduki lapisan teratas.
Namun semasa pemerintahan Shogun Tokugawa Maharaja Jepun tidak mempunyai kuasa
untuk mentadbir. Baginda hanya menjadi lambang perpaduan rakyat. Kuasa
pemerintah terletak kepada Shogun Tokugawa. Shogun menjalankan tugas atas
nama maharaja melalui dasar pecah dan perintah. Hal ini dilakukan supaya
kuasa dan kedudukan Shogun terjamin. Shogun telah membahagikan kawasan
pemerintahan berdasarkan golongan bangsawan atau Daimyo yang
penyokong dan menentangnya. Daimyo yang menyokong Shogun akan diberi tanah
manakala bangsawan yang menentangnya ditempatkan di kawasan yang akan
dikawal oleh sekutu Tokugawa.
3. Daimyo merupakan golongan bangsawan yang mempunyai peranan penting dalam
pentadbiran Tokugawa. Mereka terbahagi kepada tiga kumpulan iaitu daimyo Fudai,
Daimyo Shimpan dan Daimyo Tozama. Daimyo Fudai ialah ahli keluarga Shogun
Tokugawa dan telah dikurniakan tanah yang berhampiran kediaman
Shogun. Daimyo Shimpan terdiri daripada pelbagai cabang keluarga Tokugawa.
Mereka diberi tanah tidak jauh daripada Shogun. Daimyo Tozama
terdiri daripada mereka yang memusuhi Shogun. Mereka telah
ditempatkan jauh daripada Shogun untuk mengelak ancaman
daripada mereka.
4. Samurai merupakan kelas panglima. Mereka mempunyai kedudukan istimewa.
Mereka berfungsi sebagai penjaga keamanan negara dan Daimyo. Mereka tidak
dibenarkan melakukan kerja lain.
5. Dalam kalangan rakyat biasa,petani (nomin) menduduki tempat yang tertinggi.
Hal ini kerana mereka merupakan pengeluar beras yang menjadi bahan makan
rakyat Jepun dan sebagai balasan mereka diberi upah hanya secukup makan sahaja
kerana hasil beras untuk negara. Jepun telah menjalankan dasar tutup pintu ini
menyebabkan rakyat hanya bergantung kepada beras yang dikeluarkan oleh petani
sahaja.
6. Kelas tukang-tukang mahir (artisan) berada dibawah petani. Mereka mahir
dalam pembuatan pedang dan alat-alat lain yang berguna. Mereka diberi gaji yang
baik dan diberi rumah yang baik. Mereka dibenarkan menggunakan pedang.
7. Kelas pedagang (chonin) terletak dibawah artisan. Mereka dipandang rendah
dan tidak dibenarkan berlaku mobiliti sosial. Namun keadaan aman telah
menyebabkan ekonomi berkembang dan para pedagang telah berjaya mengumpul harta
yang banyak. Mereka kemudian telah memperbaiki status diri mereka.
Perbandingan ciri-ciri masyarakat feudal di
England dan Jepun
Persamaan:
1. Konsep masyarakat feudal yang berasaskan saling
memerlukan antara golongan pemerintah dan golongan diperintah dan berbentuk
piramid
2. Pembentukan masyarakat adalah berdasarkan keturunan dan sistem kelas
3. Kurang perubahan status atau mobiliti sosial
4. Peperangan adalah fenomena biasa dalam kalangan masyarakat
5. Peralatan peperangan adalah bersifat tradisional iaitu menggunakan kuda,
pedang dan baju perisai
Perbezaan:
1. Masyarakat feudal di England menekankan hak,
undang-undang dan kewajipan manakala di Jepun menekankan aspek moral, kesetiaan
dan dipengaruhi oleh etika Confucius
2. Pembinaan istana di England menggunakan batu manakala di
Jepun menggunakan kayu
3. Kuasa pemerintahan dikongsi dalam badan perwakilan di
England tetapi di Jepun
4. kuasa dan kesetiaan adalah sesuatu yang mutlak
5. Di England, sesiapa boleh memiliki tanah asalkan
berjasa kepada pemerintah (Knight) tetapi di Jepun golongan samurai tidak
berhak untuk mempunyai tanah
6. Di England, penyatuan rakyat dijalankan oleh Raja
tetapi di Jepun ia dilaksanakan oleh ketua tentera
Soalan-soalan Perbincangan:
1. Huraikan konsep dan ciri-ciri feudalisme di England
dan Jepun.
2. Bincangkan susun lapis masyarakat feudal di England
dan Jepun
3. Bandingkan ciri-ciri feudalisme di England dan Jepun
No comments:
Post a Comment