Pembesar di China
Kedudukan
Sistem pembesar di negara-negara Asia Timur termasuk
China masih mengamalkan sistem feudal. Berdasarkan sistem ini pembesar
mempunyai kuasa yang terhad dan bergantung kepada sokongan raja atau maharaja.
Dalam masa yang sama pembesar mempunyai tanggungjawab terhadap pengikutnya dan
ini penting bagi melaksanakan tugasnya terhadap raja. Di China,
pembesarnya terdiri daripada pembesar peringkat pusat dan pembesar peringkat
wilayah. Kebanyakan golongan pembesar ini merupakan mereka yang lulus
Peperiksaan Perkhidmatan Awam dalam kurikulum Confucius yang merupakan falsafah
moral bagi masyarakat China klasik. Terdapat juga pembesar daripada kalangan
golongan bangsawan atau tentera yang dilantik oleh maharaja.
Maharaja menduduki lapisan teratas diikuti golongan bangsawan, golongan terpelajar/sarjana, golongan petani, golongan pertukangan, saudagar/peniaga dan golongan askar. Golongan bangsawan memiliki wilayahnya tersendiri yang ditauliahkan oleh maharaja. Mereka ini berkuasa mentadbir wilayah masing-masing. Golongan bangsawan di China adalah mereka yang lulus dalam Peperiksaan Awam. Peperiksaan awam ini mempunyai empat tahap iaitu peperiksaan bandar, peperiksaan jajahan, peperiksaan wilayah dan peperiksaan istana yang dijalankan di hadapan maharaja sendiri. Mereka yang lulus dalam peperiksaan awam akan ditempatkan di kementerian-kementerian yang penting yang bertanggungjawab menggubal dasar kerajaan.
Golongan ini jugalah yang menganggotai Imperial
Secretariat dan Imperial Cancelory. Kesemua dasar yang digubal diperingkat
pusat akan dilaksanakan diperingkat wilayah. Pelaksanaanya akan
dipertanggungjawabkan kepada pembesar bawahan di Jabatan Hal Ehwal Negara.
Terdapat pelbagai jenis jabatan yang dibentuk seperti Jabatan Awam, Jabatan
Hukuman, Jabatan Perkhidmatan, Jabatan Hasil dan Cukai, Jabatan Upacara serta
Adat Istiadat dan Jabatan Penapis.
Golongan sarjana atau gentri merupakan pembesar tempatan
yang membantu pembesar-pembesar peringkat wilayah. Mereka ini sebenarnya
golongan terpelajar tetapi berkhidmat secara sukarela kepada pembesar wilayah
yang dilantik oleh maharaja. Golongan Gentri ini bertindak sebagai orang tengah
antara pembesar kerajaan dengan rakyat jelata di kawasan mereka sendiri.
Terdapat juga pembesar yang bukan golongan bangsawan. Mereka ini berpengaruh
diperingkat wilayah kerana memiliki angkatan tentera mereka sendiri. Golongan
ini bertanggungjawab ke atas wilayah mereka sendiri dan bersedia membantu dari
segi ketenteraan kepada kerajaan pusat pada bila-bila masa.
Peranan Pembesar di Peringkat Pusat
1.
Raja atau maharaja China membahagikan tiga fasa
pentadbiran, iaitu pentadbiran awam, pentadbiran ketenteraan dan pentadbiran
tempatan di bawah badan pengawas bagi melancarkan pemerintahannya dalam
memastikan keamanan dan ketenteraman negara.
2.
Dalam pemerintahan dan pentadbiran pusat, maharaja China
memecahkan pentadbiran kepada beberapa unit atau institusi, iaitu Sekretariat
Agung, Majlis Tertinggi (Enam Badan Menteri), dan Censorate (Lembaga Penapis).
3.
Institusi Sekretariat Agung terdiri daripada 3 hingga 6
orang setiausaha agung yang dipilih oleh maharaja China. Peranan
Sekretariat Agung:
a)
Membantu maharaja dalam menyelia dan menyelaras 6 badan
kementerian dalam pentadbiran pusat.
b)
Memaklumkan kepada maharaja segala perjalanan dalam 6
badan kementerian.
4.
Maharaja dibantu oleh Majlis Tertinggi. Majlis ini
menjadi badan penasihat yang penting kepada raja atau maharaja. Ciri-ciri
Majlis Tertinggi ialah :
a.
Dibahagikan kepada enam kementerian.
b.
Setiap kementerian akan dikawal oleh seorang pegawai
kanan atau Shangschu. Sangschu akan dibantu oleh beberapa pegawai rendah
dalam setiap urusan berdasarkan kementeriannya.
5.
Enam kementerian tersebut ialah Kementerian Personal atau Ministry of Personal
terdiri daripada Lembaga Personal, Lembaga Kewangan, Lembaga Adat, Lembaga
Perang, Lembaga Hukuman, dan Lembaga Kerja-kerja Awam. Terdapat 4 jabatan utama
yang bertanggungjawab terhadap pelantikan, penganugerahan, rekod perkhidmatan
dan penilaian prestasi.
a.
Kementerian Kewangan terdiri daripada 13 orang pegawai
dan setiap orang dipertanggungjawabkan untuk mengawal salah satu daripada 13
provinsi dan mewakili 4 bahagian yang khusus, iaitu penduduk, akaun awam, akaun
khusus, dan akaun pertanian atau tanaman. Kementerian ini menyimpan kewangan negara, memastikan
kekayaan maharaja, serta menguruskan perbelanjaan negara dengan baik.
b.
Kementerian Adat dibahagikan kepada 4 jabatan yang
bertanggungjawab kepada adat istiadat, pengorbanan, penerimaan tetamu, dan
barangan. Kementerian ini juga menguruskan hal ehwal agama Buddha
dan Taoisme. Anggotanya terdiri daripada golongan cendekiawan.
Kementerian ini turut mengendalikan Sistem Peperiksaan Kerajaan dan melaporkan
kepada maharaja sama ada pelajar tersebut layak memegang jawatan atau tidak.
c.
Kementerian Perang mempunyai 4 jabatan yang
bertanggungjawab terhadap pelantikan pegawai, pengawasan operasi, peralatan,
dan pembekalan kelengkapan tentera. Oleh yang demikian, kalangan ketua-ketua
tentera sering mendapat tempat istimewa dalam kerajaan.
d.
Kementerian Keadilan terbahagi kepada 13 jabatan
berasaskan prinsip setiap satu di setiap provinsi.
e.
Kementerian Kerja Raya dibahagikan kepada 4 jabatan dan
berfungsi mengawal beberapa gudang dan kilang. Kementerian ini
bertanggungjawab dalam kerja pembinaan, mendapatkan guna tenaga untuk
perkhidmatan awam, pembuatan barang untuk kerajaan, komunikasi laut dan darat,
penyelarasan timbangan, dan mengawal pengeluaran barangan tertentu dari kawasan
pergunungan dan tasik di China.
6.
Maharaja China menubuhkan Lembaga Penapis atau Censorate untuk memastikan
pembesarnya menjalankan arahan serta menjadi mata dan telinga maharaja. Ciri-ciri
Lembaga Penapis :
(a) Terdiri
daripada 2 orang Censor, beberapa timbalan, dan 4 pegawai rendah yang
bertanggungjawab dalam menguruskan surat-menyurat Censorate dan urusan
pentadbiran.
(b) Kuasa
utama Censorate terletak pada 110 pegawai penyiasat yang ditugaskan untuk
membendung amalan korupsi, penyalahgunaan kuasa, dan ketidakcekapan.
(c) Pada
zaman Dinasti Ching, maharaja menempatkan 24 orang Censorate di Peking atau ibu
kota dan lebih 56 orang Censorate di wilayah.
Jabatan ini berhubung terus dengan maharaja sekiranya
terdapat pembesar wilayah yang ‘curang’ terhadap maharaja. Secara langsung ini
merupakan satu langkah maharaja untuk mengekalkan kawalannya ke atas pembesar
wilayah tersebut dan memudahkan maharaja untuk mengambil tindakan sekiranya
kedudukannya terancam atas perlakuan pembesar berkenaan.
Justeru jelas menunjukkan bahawa pembesar pusat amat
berperanan untuk mengukuhkan kedudukan maharaja.
Peranan Pembesar di Peringkat Wilayah
1.
Dalam pentadbiran pembesar di peringkat wilayah, sering kali kalangan tentera
dilantik sebagai pembesar wilayah dalam usaha memastikan wilayah tersebut
berada dalam keadaan aman dan tenteram serta mematuhi segala arahan daripada
kerajaan pusat. Selain golongan tentera, terdapat juga golongan sarjana atau
official gentri/ Shan-shin diberikan peranan untuk mengetuai pentadbiran di
wilayah. Secara umumnya jawatan pembesar wilayah di China dikenali dengan nama
Gabenor.
2.
Dalam pentadbiran semasa Dinasti Ching (Manchu) Gabenor dibantu oleh
pegawai-pegawai daerah yang dilantik oleh maharaja seperti Bendahari dan
Hakim. Bendahari bertugas sebagai bendahari amal di wilayahnya.
Hakim bertugas mengawal undang-undang jenayah dan bidang kuasa rayuan dalam
perkara-perkara jenayah, serta menjadi Pengawal Garam dan Pegawai
Bijirin. Manakala, Tao-tai ialah seorang pegawai yang bertugas dalam
pentadbiran khas dalam lingkungan dan jajahan pula dikawal oleh ketua jajahan.
3.
Dalam melaksanakan tugasnya memegang amanah “mandat dari syurga”, maharaja amat
bergantung kepada kekuatan angkatan tentera. Oleh itu jawatan ketua-ketua tentera sering mendapat
tempat istimewa dalam kerajaan.
4.
Justeru pembesar wilayah juga dilantik dalam kalangan bijak pandai (gentry)
yang telah lulus pendidikan Confucius. Keistimewaan pembesar wilayah:
a)
Dibenarkan mengubah dasar yang dibentuk oleh pemerintah
pusat dengan kebenaran adat istiadat dan keadaan setempat.
b)
Diberi kebebasan bertindak dalam hal-hal yang berkaitan
dengan adat istiadat tempatan dan menjalankan perintah mahajara.
c)
Dianggap sebagai pemerintah separuh merdeka.
d)
Bebas ditukarkan dari satu tempat ke satu tempat yang
lain di seluruh empayar atas arahan maharaja.
e)
Menjaga keamanan dan ketenteraman di wilayah-wilayah
masing-masing.
f)
Menghantar hasil, cukai atau wang kepada kerajaan pusat.
Kesimpulan
Keseimbangan antara kalangan tentera yang menjadi tulang
belakang dalam pertahanan negara serta kehadiran kalangan sarjana dalam sistem
pembesar di negara China telah menjadikan pemerintahan China mampu bertahan
daripada sebarang ancaman luar sehingga abad ke-19.
No comments:
Post a Comment