Konsep Raja/Maharaja
Sistem pemerintahan beraja atau maharaja merupakan satu
sistem pentadbiran yang meletakkan raja/maharaja pada kedudukan teratas dalam
hierarki politik dan struktur sosial serta menjadi kuasa penentu dalam
pentadbiran kerajaan. Dalam hubungan ini, kedudukan mereka sebagai seorang
individu yang paling berkuasa adalah amat penting dalam masyarakat. Seseorang
raja atau maharaja mempunyai peranan yang cukup besar dan secara peribadi
merupakan perlambangan kepada kedudukan kerajaan. Seseorang raja/maharaja yang
berwibawa dan disegani seharusnya berupaya mengekalkan kesejahteraan rakyat
daripada sebarang bentuk ancaman sama ada secara fizikal mahupun bencana alam.
Kejayaan seseorang raja/maharaja mewujudkan kestabilan politik, kemakmuran
ekonomi dan kesejahteraan sosial. Keadaan ini menjadikan seseorang
raja/maharaja sebagai penentu kepada hala tuju sesebuah kerajaan. Kejayaan
seseorang raja/maharaja mengekalkan kuasa menandakan kejayaan peribadi
seseorang raja/maharaja dan seterusnya menjamin kedudukan raja atau maharaja
kekal di puncak kekuasaan.
Sistem Pemerintahan
Kemaharajaan di China
Di negara China, kewujudan sistem maharaja dikatakan
bermula sejak zaman Dinasti Hsia yang dianggap sebagai dinasti pertama dan
berkekalan sehingga tahun 1911. Antara dinasti yang wujud lanjutan daripada
Dinasti Hsia ialah Dinasti Shang (1750 SM), Dinasti Chin, Dinasti Sung, Dinasti
Sui, Dinasti Tang, Dinasti Ming dan Dinasti Ching (Manchu).
Pemerintahan bercorak maharaja di negara China berakhir
dengan berlakunya Revolusi pada tahun 1911. Sehubungan itu, walau sekerap mana
sekalipun penggantian dinasti berlaku namun kedudukan maharaja sebagai
pemerintah tertinggi tetap terpelihara. Maharaja kekal kedudukannya sebagai
tonggak terpenting dalam kerajaan selagi berupaya mengekalkan mandat dari
syurga. Maharaja China menjalankan pelbagai peranan dalam memperkukuhkan
kedudukannya sebagai pemerintah di negara China sehingga kejatuhan Dinasti
Manchu pada 1911.
Kedudukan Maharaja
Memerintah Berdasarkan Ajaran
Confucius
Dalam mengabsahkan kedudukan maharaja dalam sistem
pemerintahan di negara China, ia haruslah dilihat melalui kombinasi beberapa
aspek terutamanya antara falsafah Confucius dan kepercayaan masyarakat terhadap
perkembangan politik semasa yang melibatkan maharaja dengan kerajaan yang
ditadbir serta hubungannya dengan kesejahteraan masyarakat pada ketika itu.
Konsep Manadat Dari Syurga
Kedudukan politik seseorang maharaja adalah
dilegitimasikan berdasarkan konsep mandate
of haeven atau mandat dari syurga. Konsep ini secara langsung
meletakkan maharaja sebagai wakil syurga atau anak syurga (Tuhan) dan ia
memberi kuasa spiritual yang tidak terhingga kepada seseorang maharaja.
Konsep ini juga menjelaskan bahawa Tuhan telah
menganugerahkan kepada maharaja tersebut satu kuasa untuk memerintah dan
sehingga kuasa tersebut ditarik balik, tiada kuasa lain yang boleh mendakwa
baginda atas segala tindakan baginda.
Dalam hal ini, ahli falsafah terkenal China, Kung Fu-Tze
menyatakan bahawa, “sesiapa (maharaja) yang berjaya mendapat mandat dari syurga
akan berjaya menjadi maharaja, namun sekiranya mandat tersebut ditarik balik,
ia (maharaja) akan dianggap sebagai penjenayah dan harus digulingkan”. Justeru
bagi mengekalkan legitimasinya, seseorang maharaja harus memastikan kehidupan
rakyat sentiasa berada dalam keadaan tenteram, harmoni dan makmur. Sekiranya
maharaja tersebut gagal, maka mandatnya dianggap telah ditarik balik dan harus
digantikan dengan seseorang yang lain yang mendapat mandat baru dari
syurga.
Kedudukan Maharaja Dalam Susun
Lapis
Dalam susun lapis masyarakat pula, maharaja berada pada
kedudukan tertinggi dalam sistem feudal. Justeru dalam mengekalkan
kedudukannya, maharaja membahagikan negara China kepada dua bahagian, iaitu
kerajaan pusat dan kerajaan wilayah. Bagi membantu maharaja di peringkat pusat,
golongan sarjana yang berpendidikan dan lulus peperiksaan awam dalam ajaran
Confucius bertanggungjawab membantu dalam menggubal dasar-dasar awam serta
melaksanakan arahan maharaja ke peringkat bawahan.Golongan ini mendapat status
yang tinggi di istana serta berpengaruh dalam kalangan rakyat disebabkan
pengetahuannya dalam ajaran Confucius. Di peringkat wilayah pula, pentadbiran
lam dipertanggungjawabkan kepada golongan warlord atau hulubalang. Golongan ini
membentuk pentadbiran sendiri di peringkat wilayah. Jarak yang jauh di antara
peringkat pusat dan wilayah, memudahkan mereka membentuk sistem pencukaian,
tentera dan pentadbiran sendiri.
Kedudukan seseorang maharaja semakin diperkukuhkan
melalui falsafah dan ajaran Confucius yang meletakkan kesetiaan kepada maharaja
sebagai keperluan kepada masyarakat selain isteri taat kepada suami dan anak
taat kepada ibu bapa. Ajaran Confucius yang kemudianya menjadi ideologi politik
dalam pembentukan sistem pentadbiran dinasti di China secara tidak langsung
memperkasakan lagi kedudukan seseorang maharaja sebagai pemerintah. Sejak zaman
dinasti-dinasti awal lagi, ajaran Confucius menjadi pegangan dalam
pemerintahan. Ia membentuk satu aliran falsafah yang utama di China dan
seterusnya menjadi asas kepada kebudayaan masyarakat tempatan di negara
berkenaan sehingga kedatangan orang-orang Barat.
Peranan Maharaja di China
1.
Politik
Ketua pemerintah
Dalam sistem pemerintahan Maharaja merupakan ketua
pemerintah tertinggi negara yang berkuasa mutlak. Maharaja berkuasa penuh dalam
semua aspek yang merangkumi politik, ekonomi dan sosial. Segala perintah
maharaja rakyat tidak boleh engkar dan jika engkar rakyat boleh dijatuhkan
hukuman yang berat. Maharaja China juga sebagai ketua perundangan, eksekutif,
& kehakiman. Untuk melicinkan pentadbiran Maharaja dibantu oleh Jabatan
Setiausaha Tinggi dan Majlis Tertinggi.Terdapat 6 orang pembesar kanan.
Maharaja juga menubuhkan jabatan khas iaitu Jabatan Penapis sebagai mata
dan telinga dan maharaja.
Melantik golongan pembesar
Maharaja China mempunyai peranan yang sangat besar dalam
urusan melantik golongan pembesar sama ada di peringkat pusat atau wilayah.
Golongan pembesar yang akan dilantik oleh maharaja ini perlu lulus dalam
peperiksaan awam China yang diadakan diperingkat pusat, wilayah dan kampung.
Maharaja perlu melantik golongan pembesar yang benar-benar boleh menjalankan
tugas mereka kerana kuat atau lemah seseorang maharaja itu bergantung kepada
mereka. Golongan pembesar ini dianggap sebagai tulang belakang atau tiang
kerajaan untuk menunjukkan betapa pentingnya golongan ini. Mereka akan membantu
maharaja dalam pemerintahan sama ada diperingkat pusat atau wilayah.
Memerintah berdasarkan prinsip Confucianisme.
Mengikut ajaran Confucius, “sesiapa berjaya mendapat mandat dari syurga akan berjaya menjadi
pemerintah yang baik dan rakyat dapat menikmati kehidupan yang aman serta
makmur”. Sekiranya bencana alam berlaku menunjukkan bahawa maharaja
yang memerintah tidak lagi mempunyai mandat dari syurga dan dianggap
sebagai penjenayah. Maharaja mesti memerintah negara berdasarkan
prinsip-prinsip anjaran confuciannisme.
Menggubal undang-undang
Maharaja China juga berperanan dalam pengubalan
undang-undang yang akan digunakan di negara China. Setiap arahan atau kata
maharaja akan menjadi undang-undang. Kedudukan maharaja adalah mengatasi
undang-undang. Sistem perundangan yang digubal akan memastikan kedudukan
maharaja terjamin sebagai pemerintah berkuasa mutlak dan untuk memastikan
negara sentiasa aman dan selamat. Maharaja juga menjatuhkan hukuman termasuk
hukuman bunuh.
Sebagai ketua tentera
Maharaja adalah sebagai ketua tentera dan
bertanggungjawab menjaga keamanan dan ketenteraman negara serta rakyat. Baginda
akan dibantu oleh golongan pembesar yang bertanggungjawab dalam bidang
keselamatan terutama golongan bangsawan perang dan anggota tentera.
2. Ekonomi
Maharaja perlu memastikan ekonomi negara China sentiasa
berkembang dan mampu memenuhi keperluan dalam negara iaitu sesuai dengan
pengamalan dasar tutup pintunya. Maharaja menguasai semua hasil ekonomi negara,
menentukan dan menguasai semua sistem pungutan cukai negara, terlibat dalam
kegiatan perdagangan, menaungi perdagangan Asia Tenggara dalam perdagangan
ufti, menentukan sistem sukatan dan timbangan dan sebagainya.
3. Sosial
Ketua agama
Maharaja China juga merupakan ketua agama yang diamalkan
di negara China seperti Buddha, Toisme & Confucius. Baginda
bertanggungjawab memastikan rakyatnya sentiasa mematuhi pengamalan agama yang
dianuti di China dan memastikan kepercayaan agama mereka tidak dicemari oleh
pengaruh luar seperti agama Kristian.
Ketua adat istiadat dan adat resam masy China.
Maharaja juga bertanggungjwab untuk memastikan setiap
adat istiadat diraja dan adat resam dipatuhi setiap masa seperti adat kow-tow
iaitu adat bersujud dihadapan maharaja sebanyak 9 kali tanpa boleh melihat wajah
maharajanya. Adat ini mesti dilakukan oleh rakyat tempatan atau orang asing
yang ingin mengadap maharaja. Maharaja juga perlu memastikan alat-alat
kebesaran diraja sentiasa dijaga seperti lambang naga yang hanya boleh dipakai
oleh Maharaja dan kerabat diraja sahaja.
Pamerkan diri sebagai pemimpin intelektual bagi seluruh
rakyat.
Maharaja bertanggungjawab untuk menjadikan istana sebagai
pusat perkembangan ilmu. Oleh itu istana telah dijadikan sebagai pusat
peperiksaan awam kerajaan China untuk memilih kakitangan awam bagi menjawat
jawatan tertinggi negara.
Kesimpulan
Sistem pemerintahan bermaharaja di China mula tergugat
apabila berlakunya campurtangan kuasa Barat terutama apabila China mengalami
kekalahan dalam Perang Inggeris-China I pada tahun 1842. Negara China yang
semakin lemah dan kucar kacir ini telah mendorong golongan berpendidikan Barat
melancarkan revolusi pada tahun 1911. Revolusi ini akhirnya telah berjaya
menamatkan sistem pemerintahan bermaharaja di China dan kemudian diganti dengan
sistem pemerintahan bercorak Republik dan selepas itu sistem pemerintahan
Komunis. Ketua pemerintahannya adalah berjawatan sebagai Presiden.
No comments:
Post a Comment