Pages

Friday 16 November 2012

KONSEP MASYARAKAT AGRARIA BELANDA



KONSEP MASYARAKAT AGRARIA



Konsep/Definisi:

Masyarakat agraria merupakan masyarakat yang menjalankan kegiatan ekonomi berasaskan kepada pertanian iaitu bercucuk tanam dan menternak binatang. Jenis-jenis tanaman utama ialah padi sawah, padi huma, ubi taro, dan keladi; tanaman bijirin pula ialah gandum, barli, oat, kubis, kekacang dan sebagainya.  Selain itu, masyarakat juga menjalankan aktiviti berburu, mengutip hasil hutan dan menangkap ikan pada peringkat awal. Penempatan mereka terbentuk di sekitar kawasan yang subur seperti lembah-lembah sungai, kawasan berbukit, serta kawasan yang mempunyai sistem saliran yang baik. Mereka juga mempunyai kemahiran menghasilkan makanan sendiri dengan pertanian pindah sehingga mengusahakan pertanian tetap. Pada masa yang sama masyarakat agraria mempunyai hubungan dengan masyarakat maritim dan saling bergantungan.Masyarakat agraria di China menjalankan kegiatannnya atas arahan golongan pembesar.

Manakala di Eropah telah berlaku perubahan politik dan ekonomi yang pesat terutama selepas keruntuhan sistem feudal sehingga telah terbentuk beberapa buah negara bangsa yang baru seperti Portugal, Sepanyol, England dan Belanda. Pentadbiran berpusat ini telah dikuasai oleh raja yang berkuasa mutlak dan pentadbiran ini telah membolehkan kerajaan menyeragamkan sistem pemerintahan.  Penyeragaman pentadbiran ini telah memberi kesan yang besar kepada sistem ekonomi yang dijalankan.

Pada abad ke-16 dan 17, negara Belanda dan China mengamalkan ekonomi mekantilisme iaitu kerajaan akan campur tangan dalam kegiatan ekonomi bagi tujuan mengukuhkan lagi kekuasaan politik dan kekayaan negara. Campur tangan kerajaan ini dapat memastikan perkembangan ekonomi selaras matlamat kerajaan.

Terdapat beberapa unsur di dalam pengamalan ekonomi mekantilisme yang dijalankan oleh negara Belanda dan China seperti unsur nasionalisme, paternalisme dan imperialsme. Bagi negara Belanda masyarakatnya mengamalkan unsur paternalisme dan imperialisme. Manakala negara China pula mengamalkan unsur nasionalisme dan paternalisme.

Unsur nasionalisme merupakan sesebuah negara atau masyarakat menjalankan ekonomi yang kendiri iaitu tidak bergantung kepada negara lain untuk memenuhi keperluannya. Unsur paternalisme pula memperlihatkan kerajaan memainkan peranan penting dalam mengatur kegiatan ekonomi, sosial dan politik. Manakala unsur imperialisme sangat penting dalam ekonomi mekantalisme iaitu negara tersebut perlu mempunyai tanah jajahan diseberang laut yang mampu memenuhi keperluan dalam negara. Dengan mempunyai unsur-unsur inilah maka negara Belanda dan China dapat memperkembangkan ekonomi agraria sepanjang abad ke-16 dan 17.



MASYARAKAT AGRARIA BELANDA

MASYARAKAT AGRARIA DI BELANDA
1.            Ekonomi negara Belanda mula berlaku perkembangan terutama selepas Belanda berjaya bebas daripada cengkaman kuasa Sepanyol pada tahun 1585. Taraf hidup masyarakat Belanda semakin meningkat apabila berlaku revolusi pertanian dan revolusi perkapalan telah menjadikan Belanda sebagai kuasa perdagangan di Eropah serta menjadikan pelabuhan Amsterdam sebagai pelabuhan yang sibuk pada abad ke-16 dan 17.

2.            Masyarakat petani terutama disebelah utara Belanda telah mengusahakan kegiatan pertanian secara kecil kecilan dan secara sistem pertanian padang terbuka. Hasil pertanian ini untuk pasaran tempatan di bandar-bandar negara Belanda sahaja.

3.            Dalam sistem ini, tanah pertanian dibahagi kepada bidang tanah iaitu setiap bidang tanah dibahagi kepada beberapa lajur tanah secara memanjang untuk diusahakan oleh petani. Petani hanya akan mengusahakan beberapa bidang tanah sahaja dan sebidang lagi akan dibiarkan kosong atau tanah rang sahaja untuk mengembalikan kesuburan tanah bagi musim akan datang. 
4.            Pada abad ke-17, revolusi pertanian yang berlaku telah mendorong pertambahan tanah pertanian kepada 36 ribu ekar sekitar tahun 1590 hingga tahun 1615, begitu juga dengan masyarakat petani dan penggunaan kuda dalam pertanian turut bertambah. Kegiatan dan pengeluran hasil pertanian semakin meningkat apabila kerajaan Belanda berjaya menambak laut untuk dijadikan kawasan pertanian. Penggunaan teknologi kincir angin semakin merancakkan lagi kegiatan pertanian di Belanda kerana kawasan tanah tinggi boleh disalurkan air untuk pertanian.
5.            Masyarakat agraria Belanda menggunakan kaedah tanaman giliran antara tanaman ubi-ubian, kekacang dan bijirin. Kaedah ini akan mengembalikan kesuburan tanah dan meningkatkan lagi hasil pengeluaran pertanian. Tumpuan utama masyarakat agraria Belanda ialah tanaman bijirin seperti gamdum, barli, oat yang menjadi sumber utama Belanda. Tanaman lain pula yang diusahakan ialah kobis, kekacang, jagung dan bunga-bungaan. Hasil-hasil ini akan dieksport keluar negara.

6.            Selain itu, masyarakat agraria Belanda juga mengusahakan kegiatan penternakan binatang terutama lembu tenusu untuk pengeluaran hasil tenusu. Belanda telah menjadi pusat utama penternakan lembu ini. Lembu-lembu daging pula diternak untuk disembelih dan dieksport ke kawasan lain di Belanda antara tahun 1500 hingga tahun 1660.

7.            Masyarakat agraria Belanda di desa turut mengusahakan industri tekstil terutama di Flanders dan Brabant. Mereka mengeluarkan pakaian berasaskan kain bulu dan linen. Masyarakat di bandar pula, menggunakan mesin untuk mewarnakan dan memutihkan kain kemudian dipasarkan sehingga tahun 1568.

8.            Pada abad ke-17, industri tekstil di Leiden semakin berkembang terutama dalam pengeluaran kain-kain jenis woolen, says, fustians dan camlets. Perkara ini telah mendorong pertambahan pengeluaran kain sehingga meningkat sebanyak 130 ribu pada tahun 1660-an. Selain Leiden, Haarlem telah menjadi bandar pengeluran kain linen utama untuk dipasarkan ke Eropah.

9.            Hampir 1/5 masyarakat agraria Belanda telah mengusahakan kegiatan menangkap ikan terutama di kawasan Holland dan Zealand merupakan perairan yang kaya dengan ikan herring berkualiti tinggi. Pada abad ke-17, masyarakat Belanda telah menangkap ikan dari Laut Utara hingga ke Selat Inggeris dengan menggunakan kapal-kapal yang bersaiz besar sehingga menjangkau 30 tan beratnya. Mereka berjaya mengatasi nelayan Jerman untuk menguasai pasaran ikan di kawasan Baltik. Mereka akan berada di laut selama 8 minggu dengan anak kapal antara 10 hingga 15 orang.

10.         Masyarakat agraria Belanda juga terkenal dalam industri pembinaan kapal yang terbaik di Eropah iaitu bermutu tinggi, tahan lasak, dan boleh memuatkan muatan yang lebih. Industri ini telah mendapat kepercayaan masyarakat pedagang di Eropah pada abad ke-17. Sekitar tahun 1630-an, Belanda telah berjaya membina 2 500 buah kapal dan separuhnya untuk kegunaan di Eropah seperti negara England, Perancis dan Sepanyol. Perkembangan industri perkapalan ini telah mendorong perkembangan perdagangan Belanda terutama pada tahun 1648.

11.         Kapal-kapal Belanda telah digunakan untuk mengangkut gandum dan barli dari Poland dan Timur Prusia, seterusnya ke Perancis, Sepanyol dan Mediterranean. Kapal-kapal ini juga turut digunakan untuk mengangkut besi dari Sweden dan barangan perdagangan dari Rusia, Timur Hindia, Brazil, Jepun, Asia Tenggara dan Kepulauan Barat Afrika. Perkembangan ini membolehkan Belanda menguasai perdagangan Eropah pada abad ke-16.

12.         Pada abad ke ke-16, hubungan antara pelabuhan Antwerp di Belanda dengan pelabuhan Lisbon di Portugal amat rapat. Apabila pelabuhan Antwerp jatuh ke tangan Sepanyol pada tahun 1585, aktiviti perdagangan telah berpindah ke pelabuhan Amsterdam dan telah muncul sebagai pusat perdagangan yang baru. Akibat pemberontakan oleh orang Belanda di bahagian utara telah mendorong Raja Phillip II menutup pelabuhan Lisbon dan menghalang kapal-kapal dari Belanda memasuki pelabuhan Lisbon.

13.         Keadaan ini telah menyebabkan pedagang-pedagang Belanda mencari sendiri barangan mereka sehingga mendorong Belanda menawan Kepulauan Rempah di Asia Tenggara. Tujuan Belanda bertindak demikian untuk menguasai perdagangan di Timur, menghapuskan monopoli Portugal dan Sepanyol, mengumpul kewangan untuk menentang kekuasaan Sepanyol di Belanda dan menawan pusat perdagangan Portugal di Timur.

14.         Pada tahun 1596, Belanda di ketuai oleh De Houtman telah sampai ke pelabuhan Bantam yang kaya dengan lada hitam, kemudian singgah di Jakarta, Pulau Madura, Bali dan kembali semula ke Amsterdam pada tahun 1597.

15.         Pada tahun 1598, 22 buah kapal dari Belanda menuju ke Timur dan telah meningkat kepada 60 buah kapal menuju ke Kepulauan Rempah di Timur antara tahun 1595 hingga tahun 1601. Mereka telah mengadakan perjanjian dengan pemerintah tempatan di Kepulauan Rempah di Asia Tenggara dengan memberi perlindungan kepada pemerintah tempatan seperti dengan Pulau Ambon (1600) dan Pulau Banda (1602). Sebagai balasan Belanda dapat memonopoli perdagangan buah pala.

16.         Bagi menjamin dan mengukuhkan kedudukan Belanda di Kepulauan Rempah ini, maka pada tahun 1602, parlimen Belanda bersetuju menubuhkan Syarikat Hindia Timur Belanda atau Vereenigde Oostindische Compagine (VOC). Dengan bermodal sebanyak 6½ juta guilder. Pengusaaan ini telah membolehkan Belanda mengawal sepenuhnya perdagangan import seperti lada hitam, bunga cengkih, buah pala, kulit kayu manis dan bunga lawang di Eropah. Pada tahun 1690, VOC telah memperkenalkan tanaman kopi di Jawa setelah berjaya dalam tanaman rempah.

17.         Pada awal abad ke-17, usahawan atau pemodal Belanda yang berjaya telah menceburi perniagaan insuran dan perdagangan mata wang asing serta turut memberi pinjaman kepada negara Denmark, Austria dan Sepanyol. Sebagai contoh, usahawan atau pemodal Nouis de Geer telah mengusahakan kilang senjata di Sweden dan ada usahawan Belanda memonopoli perdagangan eksport di Rusia.

18.         Bank Amsterdam adalah bank yang paling berjaya di Eropah iaitu antara tahun 1611 hingga tahun 1701, deposit Bank Amsterdam meningkat daripada 1 juta florin kepada 16 juta florin. Perkembangan perdagangan luar negara, industri dan pertanian di Belanda telah menarik kedatangan pedagang luar dan tempat ke Amsterdam pada tahun 1609. Perkembangan dan pengukuhan perdagangan dan mata wang telah meningkatkan perdagangan antarabangsa di Amsterdam.

19.         Penubuhan bank dan badan kewangan yang lain telah meningkatkan urusan perdagangan seperti Bank Amsterdam. Penubuhan bank ini telah memudahkan lagi pemindahan wang dan pinjaman kepada pedagang sebagai pelaburan jangka panjang. Keadaan ini telah meningkatkan keupayaan pelabuhan Amsterdam dalam perdagangan antarabangsa. Kerajaan Belanda telah berusaha menaik taraf pelabuhan Amsterdam seperti mendalamkan lagi pelabuhan Amsterdam, menyediakan lebih banyak gudang menyimpan barang dagangan, menyediakan kemudahan asas lain dan menghubungan pelabuhan dengan jalan darat yang lain.

20.         Usaha kerajaan Belanda ini telah memberi peluangan pekerjaan kepada masyarakat tempatan dan ekonomi Belanda juga mencapai tahap kegemilangannya pada abad ke-17.


No comments: